Home / Berita / Syor wajibkan kanak-kanak diberi suntikan vaksin – Rohani

Syor wajibkan kanak-kanak diberi suntikan vaksin – Rohani

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan suntikan vaksin diwajibkan kepada semua kanak-kanak di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata menjadi tanggungjawab kementerian memberi perhatian serius terhadap soal kesihatan kanak-kanak di negara ini.

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. – Foto Muhammad Asyraf Sawal

Sehubungan itu, katanya, keengganan sesetengah ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit merbahaya.

“Kementerian juga sudah mengeluarkan arahan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak di taska supaya mengambil suntikan vaksin bagi mengelakkan lebih banyak masalah kesihatan berlaku di masa depan.

“Bagi ibu bapa yang meragui kesahihan status halal vaksin, mereka diminta merujuk kepada majlis fatwa dan sekurang-kurangnya perlu ada usaha daripada terus menolaknya,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada pesakit Institut Jantung Negara (IJN), di sini, malam ini.

Terdahulu tujuh pesakit jantung yang dirawat di IJN menerima sumbangan berbentuk barangan dan duit raya.

Rohani berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban pesakit dalam persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Turut hadir, Ketua Cawangan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur, Abd Hakin Ishak dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Anak Sarawak Semenanjung, Amirin Arsyan.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *