Home / Sukan / Olimpik Rio: Isu keselamatan terus jadi kebimbangan skuad pelayaran

Olimpik Rio: Isu keselamatan terus jadi kebimbangan skuad pelayaran

JURULATIH pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah masih gusar dengan tahap keselamatan dan virus Zika yang melanda Brazil ketika ini selepas berkunjung ke Rio, awal bulan ini.

Sebelum ini, wujud kes atlet dari Sepanyol dan Australia yang menjadi mangsa kes samun di Rio.

Affendy yang baru sahaja pulang dari melakukan tinjauan perkampungan sukan dan venue pertandingan pada 2 Jun lalu, setakat ini berpuas hati dengan tahap keselamatan yang disediakan penganjur tetapi semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Dari segi keselamatan saya sangat ambil berat. Yang penting kami tidak mendedahkan diri kepada jenayah.

“Iaitu memakai jam tangan, kaca mata dan pakaian yang mahal-mahal yang menunjukkan identiti, itu akan mengundang masalah,” demikian tegas Affendy.

Bagi atlet pelayaran wanita negara, Nurshazrin Mohd Latif yang beraksi dalam acara laser radial, dia turut sama risau dengan keadaan di Rio, namun percaya pegawai pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Meskipun wujud kebimbangan, dia masih fokus dengan penampilan pertamanya dalam temasya Olimpik dan mensasarkan untuk muncul pelayar terbaik dari Asia di Rio kelak.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini bercadang mahu menghantar pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjaga keselamatan para atlet.

“Untuk perlumbaan saya tidak risau sangat, tapi soal keselamatan itu agak mengganggu. Tapi pengurus tahu apa yang terbaik, jadi kami sentiasa bersedia,” jelas atlet pelayar wanita negara, Nurshazrin Mohd Latif.

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *