Home / Berita / MT UMNO pecat Muhyiddin, Mukhriz; gantung Shafie

MT UMNO pecat Muhyiddin, Mukhriz; gantung Shafie

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini sebulat suara bersetuju memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas kesalahan disiplin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan kedua-duanya yang berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, MT juga memutuskan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya sehingga jawatankuasa disiplin parti menjelaskan hasil laporan mereka berkaitan pelanggaran disiplin Shafie.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Pada sidang sama, Najib turut berkata peruntukan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad akan dihentikan serta merta dan semua kakitangannya akan diberi notis berhenti.

Keputusan itu kata beliau dibuat berikutan badan terbabit mempunyai usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan yang sah.

Turut sama pada sidang media, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa; Bendahari UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah; serta ketua sayap, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *