Home / Berita / 11 tan mercun dirampas sejak 2 bulan lalu

11 tan mercun dirampas sejak 2 bulan lalu

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas sebanyak 11 tan mercun pelbagai jenis yang cuba diseludup masuk ke negara ini, sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata operasi membanteras penyeludupan mercun itu dilakukan sejak dua bulan lalu.

“Aktiviti penyeludupan termasuk barangan terlarang seperti mercun perlu dibendung bagi memastikan rakyat kita terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak terdedah kepada bahaya.

“Disebabkan itu, bagi membendung kemasukan mercun khususnya menjelang Aidilfitri, kita telah melakukan operasi ini sejak dua bulan lalu.

“Bayangkan jika kastam tidak melakukan operasi penguatkuasaan untuk aktiviti penyeludupan, mungkin berpuluh ribu tan lagi mercun masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis berbuka puasa kastam bersama Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni, di Surau Al-Abid, Perumahan Kastam, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Kastam Sabah, Datuk Janathan Kandok.

Sambil menjelaskan tugas penguatkuasaan bukan mudah, Khazali meminta orang ramai akan terus memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan kepada kastam.

Terdahulu, lebih 50 anak yatim, warga emas dan ibu tunggal turut diraikan dalam majlis berkenaan.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *