Home / Berita / TH optimis tambahan 10,000 kuota haji

TH optimis tambahan 10,000 kuota haji

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (tengah) dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) merasmikan perkhidmatan bergerak TH Komuniti, di Kampung Sungai Limau, di Perkarangan Masjid Hashimiah, Sungai Besar, hari ini. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUNGAI BESAR: Tabung Haji (TH) optimis pihaknya akan mendapat kuota tambahan jemaah haji sekitar 10,000 orang tahun ini seperti yang dimohon kepada kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata TH sudah mengemukakan permohonan itu menerusi Pejabat Perdana Menteri dan berharap akan mendapat kuota tambahan seperti dimohon.

“Setiap tahun kita bersyukur mendapat tambahan kuota haji, maka tahun ini kita yakin akan mendapatnya lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi selama ini.

“Biasanya keputusannya (tambahan) kuota haji akan kita ketahui pada penghujung bulan Julai,” katanya selepas merasmikan perkhidmatan bergerak TH Komuniti, di Kampung Sungai Limau, di Perkarangan Masjid Hashimiah, Sungai Besar, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abd Ghani dan Pengarah TH Selangor, Sawal Abong.

Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan bergerak TH Komuniti, Abdul Azeez berkata, hingga kini pihaknya mempunyai empat van bagi tujuan itu dengan dua kenderaan itu ditempatkan di Semenanjung dan dua lagi di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, setiap van berkenaan bernilai lebih RM500,000 dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara, bergantung kepada keperluan.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *