Home / Sukan / Malaysia berpeluang tambah atlet ke Sukan Olimpik

Malaysia berpeluang tambah atlet ke Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Kontinjen Olimpik negara masih mempunyai peluang untuk mengisi sembilan slot daripada empat acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan sembilan atlet yang berpontensi untuk mengisi slot itu adalah daripada sukan golf, renang, memanah dan olahraga.

Golf menawarkan empat slot iaitu dua lelaki dan dua wanita, dua slot dalam acara renang, dua atlet lelaki bagi sukan memanah untuk acara berpasukan dan seorang atlet wanita bagi acara olahraga.

Jawatankuasa pemilihan MOM akan mengadakan mesyuarat esok bagi mengesahkan jumlah atlet yang layak ke Sukan Olimpik.

Sehingga kini, seramai 22 atlet telah layak secara merit ke temasya itu, termasuk Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (Berbasikal), Ooi Tze Liang, Cheong Joon Hong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong dan Wendy Ng Yan Yee (Terjun).

Begitu juga Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Latiff (Pelayaran), Jonathan Wong Guanjie (Menembak), Welson Sim (Renang), Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).

Yang lain ialah jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), Tee Jing Yi (perseorangan wanita) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita).

Malaysia mula menyertai Sukan Olimpik pada 1956 dan memenangi pingat pertama iaitu pingat gangsa di Barcelona pada 1992 menerusi pasangan beregu lelaki Razif-Jalani Sidek.

Sepanjang penyertaan Malaysia, kontinjen negara hanya meraih pingat dari acara badminton, sehinggalah Pandelela Rinong meraih pingat gangsa dari acara terjun di London 2012.

Pencapaian terbaik negara adalah pingat perak menerusi Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di Atlanta 1996 dan Chong Wei pada 2008 di Beijing dan 2012 di London.

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *